Sunday, May 3, 2009

MATRIKULASI,ASASI @ DIPLOMA






Ketiga-tiga program pengajian ini memang disasarkan kepada calon yang berbeza. Setiap satu program tersebut mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri.
Mereka yang mengikuti program asasi dan matrikulasi satu tahun merupakan antara jalan terpantas untuk memasuki universiti dan menamatkan program pengajian peringkat ijazah. Secara langsung mereka akan dapat mula bekerja lebih awal di usia yang muda.
Memandangkan program asasi dan matrikulasi mengambil masa yang singkat untuk ditamatkan maka mereka yang mengikuti program ini perlu melalui proses kehidupan dan pembelajaran yang mencabar. Banyak yang perlu dilakukan dalam masa yang begitu pendek dan perlu fokus serta mengekalkan prestasi pelajaran dari mula lagi.
Walaupun begitu segala susah payah ini akan dibalas dengan kepantasan memasuki program pengajian peringkat ijazah dan dunia kerjaya.

Secara umumnya program Matrikulasi KPM sesuai untuk mereka yang belum begitu pasti kursus apa yang ingin diikuti diperingkat ijazah nanti kerana sukatan pelajarannya lebih terbuka. Manaka program


Asasi pula sesuai untuk mereka yang sudah pasti apakah kursus yang ingin diikuti diperingkat ijazah dan universiti yang ingin dimasuki kerana sukatan pelajaran asasi telah disusun mengikut kursus yang tertentu.
Perbezaan yang paling ketara antara program asasi dan matrikulasi dengan program diploma adalah tempoh masa pengajian.


Program diploma mengambil masa yang lebih panjang iaitu 3 tahun jadi proses pembelajaran tidaklah begitu ketat. Di samping itu pelajar diploma mempunyai lebih peluang untuk membaiki penurunan prestasi kerana ada 6 semestar berbanding 2 semestar untuk asasi dan matrikulasi setahun.
Namun kerana tempoh masa pembelajaran yang lebih lama maka lepasan diploma akan lewat memasuki pengajian peringkat ijazah dan akan lambat mula bekerja. Walaupun begitu ada universiti yang memberi pengecualian jam kredit kepada lulusan diploma dan ini boleh memendekkan sedikit tempoh masa pengajian.
Di samping itu lulusan diploma boleh menggunakan diploma mereka untuk terus bekerja tetapi tidak demikian untuk lulusan asasi dan matrikulasi. Mereka yang mengambil program asasi dan matrikulasi dianggap akan meneruskan proses pembelajaran mereka kerana program tersebut memang disusun sebagai laluan pantas ke universiti.
Sementara itu bagi mereka yang tidak berjaya ke matrikulasi atau asasi maupun diploma jangan gusar kerana anda masih boleh memasuki universiti mengikuti program peringkat ijazah. Laluan anda adalah dengan masuk ke tingkatan 6 dan ambil STPM.
Walau apa pun pilihan anda pastikan anda melaluinya dengan terancang dan berusaha untuk mencapai yang terbaik demi masa depan yang cemerlang.
Pastikan anda tidak mengulangi kesilapan dan kelemahan semasa SPM dahulu. Pada peringkat ini sepatutnya anda telah mengenai diri anda sendiri dan tahu apakah minat, kemampuan dan kekuatan masing-masing.






All the best!!